Manchester United Buat Bidaan £70 juta Untuk James Rodriguez

LONDON – Bintang Real Madrid, James Rodriguez semakin hampir untuk menyertai Manchester United selepas kelab dari Old Trafford itu melakukan bidaan £70 juta (RM389.6 juta) ke atasnya hari ini.

Perancang kelahiran Colombia itu yang mula disisihkan di santiago Bernabeu juga dilaporkan bersetuju dengan syarat peribadi bersama United, sekali gus berpotensi untuk kembali digandingkan bersama bekas jurulatihnya ketika di Sepanyol, Jose Mourinho di Old Trafford.

The Red Devils dilihat destinasi yang sesuai buat Rodriguez yang turut menarik minat kelab gergasi lain seperti Chelsea dan AC Milan selepas dia tidak disenaraikan dalam skuad Real ketika menjuarai trofi Liga Juara-Juara di Cardiff baru-baru ini.





Image may contain: 1 person, playing a sport and text

Mourinho berharap kehadiran pemain Colombia ini yang menyinar ketika Piala Dunia 2014 itu mampu menambah kreativiti di jentera tengah United dan menajamkan sentuhan gol kelab Liga Perdana England itu.

Begitupun, presiden Real, Florentino Perez dilaporkan masih cuba memujuk Rodriguez untuk terus kekal di Bernabeu.

“Rodriguez adalah antara pemain terbaik di dunia. Dia masih pemain Real dan pemain kelab ini tidak akan meninggalkan kelabnya begitu sahaja.

“Kami perlu menjaga semua kepentingan pemain dalam kelab ini dan menyesuaikannya dengan perancangan kami,” jelasnya.

Rodriguez masih mempunyai baki kontrak bersama juara La Liga itu sehingga Julai 2020. – Agensi