Ulisses Morais Harap Lulus Ujian Sulung Di Larkin

JURULATIH baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Portugal, Ulisses Morais berharap ujian pertama berdepan Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini dapat dilalui dengan cemerlang biarpun hanya diberi peluang seminggu mengendalikan skuad Harimau Selatan.

Morais berkata, dia sudah melakukan persiapan terbaik selain cuba me­ngaplikasikan idea-idea baharu yang diharap mampu membawa kelainan dalam sentuhannya pada kali ini.

Katanya, mereka merupakan pemain yang berkualiti dan berpe­ngalaman, justeru proses pembentukan skuad yang mantap menjadi lebih mudah.





“Kami berlatih hanya seminggu, ia agak singkat dan keadaan fizikal pemain pula tidak berada dalam keadaan terbaik.

“Bagaimanapun, pemikiran kami hanya untuk meraih kemenangan seterusnya berjaya me­ngutip tiga mata penuh,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam.

Sebagai rekod, jurulatih berumur 57 tahun yang pernah mengendalikan kelab liga pertama Portugal Gil Vicente FC itu diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan pada 19 Jun lalu selepas Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengumumkan Benjamin Mora kembali mengetahui skuad JDT II.

JDT ketika ini menerajui Liga Super dengan 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga seri meninggalkan Pahang dan Kedah yang berkongsi 24 mata.