Carlo Ancelotti Berminat Dapatkan Sanchez

MUNICH – Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti menganggap penyerang Arsenal, Alexis Sanchez sebagai pemain hebat dan beliau sedia membawa Sanchez ke kelab tersebut sekiranya harga berpatutan.

Pemain antarabangsa Chile itu masih belum menandatangani kontrak baharu untuk terus kekal di Stadium Emirates sekali gus menghangatkan lagi khabar angin bahawa dia bakal berhijrah ke Bayern atau Manchester City.

Meskipun Presiden Bayern, Uli Hoeness menegaskan mereka tidak akan membayar €100 juta (RM490.55 juta) bagi pemain berusia 28 tahun ke atas, Ancelotti berkata beliau sedia mendapatkan Sanchez sekiranya harga yang ditetapkan munasabah.





“Sekiranya kami berpeluang membawa masuk Sanchez, sudah pasti kelab bersedia untuk membayar yuran perpindahan tersebut. Sanchez merupakan pemain yang hebat tetapi bukanlah yang terbaik di dunia, namun saya sukakan permainannya.

“Kami memiliki banyak pilihan dalam pasaran pemain. Saya percaya pasaran pemain sekarang adalah gila tetapi Bayern bukanlah sebuah pasukan yang akan membayar nilai perpindahan tidak masuk akal,” tegas Ancelotti.

Sementara itu, bekas pengurus Chelsea itu juga membidas ejen yang menguruskan karier penyerang, Robert Lewandowski kerana mendakwa pemain antarabangsa Poland itu tidak gembira berada di Allianz Arena.

“Lewandowski tidak pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada saya dan dia mengharungi musim yang cukup hebat bersama kami. Saya juga hairan mengapa ejen sering bercakap mengenai perkara yang tidak sahih,” ujarnya. – Agensi