Dollah Salleh Hilang Sabar Dengan Pengadil

MARAN 2 Julai – Dollah Salleh jarang berkata buruk mengenai pengadil. Namun kali ini ‘mood hari raya’ juga tidak mampu untuk menghalang jurulatih Pahang itu daripada mengkritik pegawai perlawanan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berasakan kemenangan telah dirampas daripada pasukannya dan dia menyalahkan pengadil setelah menyaksikan Pahang tumpas 1-2 kepada Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini malam tadi.

Katanya, dia terpaksa mengkritik mutu pengadilan kerana sudah banyak kali melihat keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan sehingga menjejaskan semangat pemain termasuk dalam perlawanan malam tadi.

“Banyak keputusan dibuat pengadil sepanjang perlawanan itu menghampakan saya dan pemain. Saya sudah lama berdiam diri, kami seolah-olah menjadi mangsa dalam banyak perlawanan sebelum ini pun,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Tok Gajah seolah-olah akan membawa pulang tiga mata apabila membuka tirai jaringan menerusi penyerang Mohamadou Sumareh pada minit pertama namun hanya bertahan lima minit setelah pemain baharu Felda, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan.

Thiago Augusto memastikan pasukan tuan rumah meraih tiga mata penuh selepas menyempurnakan sepakan penalti dua minit sebelum perlawanan berakhir.





Menurut Dollah, antara faktor kekalahan Pahang dalam perlawanan itu adalah mutu pengadilan yang lemah dan boleh dipertikaikan berdasarkan tindakan pengadil dalam beberapa situasi.

“Saya tidak peduli Pahang kalah malam ini kerana pemain sudah memberikan prestasi terbaik, cuma saya tidak berpuas hati kerana pengadil, bagi saya menghancurkan bola sepak Malaysia.

“Saya terpaksa meluahkannya juga kerana tidak tahan dengan mutu pengadilan yang menghampakan,” katanya yang mempersoalkan sama ada pengadil bertugas dalam perlawanan itu Mohammad Zamzaidi Katimin mengetahui tentang undang-undang bola sepak selepas menghadiahkan sepakan penalti kepada The Fighters pada minit ke-88.

Katanya, sepakan penalti itu tidak seharusnya diberikan kepada Felda kerana melibatkan situasi bola terkena tangan (ball to hand) manakala dalam situasi Tok Gajah sepatutnya mendapat sepakan penalti tidak pula diberikan.

Ditanya mengenai kemungkinan dia bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik keputusan pengadil, bekas pemain kebangsaan itu berkata, dia hanya mahu melihat mutu bola sepak dan pengadilan yang lebih baik.

“Dalam konteks ini, saya hanya mahu melihat bola sepak terus diminati kerana kualiti permainan dan pengadilan yang terbaik dapat merangsang kedatangan penonton ke stadium sekali gus demi masa depan bola sepak negara.

“Kasihan kepada penonton yang sanggup datang ke stadium, membayar tiket dan berharap menonton perlawanan menghiburkan tetapi jika beginilah mutu pengadilan, saya pasti mereka juga kecewa,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Felda United, B Satiananthan memuji permainan anak buahnya sehingga berjaya menumpaskan Pahang selain mampu mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Katanya, meskipun pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, senario sebaliknya berlaku pada babak kedua yang me­nyaksikan kebangkitan skuad The Fighters.

Utusan