Jerman Menang Tipis, Skuad Muda Loew Juara Piala Konfederasi 2017

Image result for germany champion confed cup

PENGURUS pasukan bola sepak Jerman, Joachim Loew memuji skuad mudanya selepas mereka menewaskan Chile 1-0 untuk menjulang Piala Konfederasi di Saint Petersburg, Russia, hari ini.

Loew meninggalkan pemain berpengalaman seperti penjaga gol, Manuel Neuer serta Jerome Boateng, Sami Khedira, Toni Kroos dan Thomas Mueller namun Jerman masih mampu menewaskan juara Asia, Afrika, CONCACAF dan Amerika Selatan dalam kempen mereka.

Skuad Jerman mempunyai purata umur kira-kira 24 tahun berbanding lebih 30 tahun bagi Chile.

Kapten Julian Draxler, 23, adalah pemain paling berpengalaman dengan 35 penampilan.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana mereka hanya bermain bersama selama tiga setengah minggu.

“Semangat dan keinginan untuk menang memang kuat dan dapat dirasai dalam setiap sesi latihan, setiap hari. Dengan itu kejuaraan ini amat berpatutuan.

“Kemenangan pemain muda ini adalah satu pencapaian bersejarah, unik dalam sejarah Jerman dan cemerlang,” katanya.

Sementara itu Julian Draxler memuji skuad muda Jerman selepas mempamerkan aksi bersemangat untuk menewaskan Chile sekaligus dinobatkan juara Piala Konfederasi 2017.





Gol tunggal daripada Lars Stindl berjaya memisahkan jurang diantara kedua pasukan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Krestovsky, St. Petersburg serta membuktikan skuad muda Joachim Low yang menerima kritikan sebelum ini bukan calang-calang pasukan.

Bagi Draxler, kejayaan itu merupakan satu kepuasan buat seluruh pasukan selepas mengharungi beberapa perlawanan getir terutamanya ketika menentang Chile dalam kedua-dua peringkat kumpulan serta final.

“Sukar untuk dipercayai,” kata Draxler.

 
“Ia adalah satu cabaran dan jika anda melihat semula apa yang kami lalui ketika di peringkat awal kejohanan, segalanya memerlukan semangat tinggi dan kami berjaya mengatasi cabaran tersebut,” tambahnya.

Biarpun baru berusia 23 tahun, Draxler mengetuai cabaran Jerman dalam saingan di Russia dan dia turut menerima pengiktirafan apabila diberikan anugerah pemain terbaik kejohanan.

“Kami tidak pernah bermain dengan kesebelasan utama pada hari ini dan itu lebih membuatkan kejayaan ini sesuatu yang luar biasa.

“Akhirnya kami boleh mula bercuti malah membawa piala bersama kami,” ujar Draxler.