Calhanoglu Tidak Sabar Balas Kepercayaan AC Milan

Hakan Calhanoglu berazam untuk membalas kepercayaan AC Milan selepas menyertai kelab itu sejurus selesai menjalani hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemain antarabangsa Turki itu digantung selama empat bulan selepas didapati melanggar kontrak dengan Trabzonspor, kelab di mana dia bersetuju untuk berpindah pada 2011 sebelum memutuskan untuk kekal dengan Karlsruher SC.

Oleh itu, dia dipinggirkan dalam kempen Bundesliga sejak Februari lalu dan situasi itu secara tidak langsung membangkitkan keterujaan pemain berusia 23 tahun itu untuk beraksi di San Siro.

“Saya ingin mengucapkan teruma kasih kerana menjadikan perpindahan ini satu kenyataan dan mempercayai saya. Saya mahu menabur budi sebanyak mungkin,” katanya kepada Milan TV.

“Tempoh empat bulan lalu sangat sukar buat saya, namun saya gembira tiba di Milan. Saya mahu memberikan persembahan terbaik buat peminat, kelab dan pasukan ini.

“Terima kasih untuk segala-galanya kerana memberi saya peluang beraksi di San Siro. Saya mahu menampilkan aksi terbaik.





“AC Milan sebuah kelab yang cukup bagus. Paling penting buat saya kerana mereka mempunyai sejarah besar dan saya berharap kami mampu melakukannya lagi.

“Apabila anda melawat muzium kelab dan melihat barisan pemain ternama seperti Kaka, Gennaro Gattuso, Cesare dan Paolo Maldini, Ronaldinho dan David Beckham, ia satu tugas besar untuk saya galas dan saya gembira.”

Tambah Calhanoglu, yang memiliki keupayaan dalam sepakan percuma: “Kemampuan sepakan percuma adalah hasil 50 peratus bakat dan 50 peratus lagi usaha keras. Saya berusaha gigih setiap hati kerana saya mahu menjaringkan gol agar dapat membantu pasukan.

“Saya berharap dapat memulakan aksi dengan baik, kami mempunyai aksi penting Liga Europa dan saya berharap kami dalam kalangan tiga pasukan teratas Serie A musim depan.”

Pemain tengah menyerang itu menyertai Franck Kessie, Ricardo Rodriguez, Mateo Musacchio, Andre Silva dan Fabio Borini yang sudah mengesahkan tempat dalam usaha Rossoneri untuk bangkit musim depan.