Khairy Rayu Pemain Dilepaskan Untuk Skuad Kim Swee

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, merayu kepada pasukan Liga Malaysia agar bersikap lebih terbuka untuk melepaskan pemain masing-masing bagi menyertai sesi latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, bermula esok.

Khairy bimbang dengan keadaan terkini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas beberapa pasukan keberatan melepaskan pemain bagi menghadapi kempen kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand, 19-23 Julai ini.

Baginya, Kim Swee memerlukan masa yang lebih panjang untuk membentuk pasukan, termasuk menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Namun, jika semua pasukan negeri mengambil sikap mengutamakan kepentingan sendiri, ia pasti memberi kesan terhadap perancangan Kim Swee untuk membentuk skuad mantap.

“Saya tahu kepentingan pasukan masing-masing dalam liga itu penting kerana mereka semua mengejar kemenangan.





“Tetapi ini permintaan daripada saya, kalau harapan kita untuk memenangi pingat emas dalam acara bola sepak, maka saya harap kerjasama itu dapat diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengakui telah mengadakan perbincangan dengan pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berhubung perkara tersebut.

Katanya, soal tindakan terhadap pasukan terbabit terletak kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan berharap krisis itu mampu diselesaikan segera.

“Saya sentiasa membincangkan perkara ini bersama Setiausaha Agung FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin). Saya percaya dan yakin Yusoff juga tahu mengenai perkara ini. Mereka juga sedar Sukan SEA adalah matlamat yang penting.

Dua kali Malaysia terlepas pingat emas Sukan SEA selepas memenanginya pada 2011 di Indonesia.

Kali ini skuad negara bersedia berdepan pasukan mana sekalipun yang bakal ditentukan dalam majlis undian, 8 Julai ini.