Piala Malaysia : Kejutan PKNP Leburkan Rekod Cemerlang T-Team

PKNP puas lebur rekod cemerlang T-Team

PKNP FC beraksi dengan cemerlang apabila menumpaskan T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Piala Malaysia malam tadi.

Penyerang, Mohd Sharel Fikri, menggalas peranan penting apabila menyumbat dua gol untuk memastikan tiga mata penuh dikutip untuk PKNP mendahului Kumpulan A.

Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, nyata gembira kerana kemenangan pasukannya juga meleburkan rekod T-Team yang tidak pernah tewas di laman sendiri dalam Liga Super.





“Ya, kekebalan T-Team di laman sendiri berjaya dileburkan.

“Bukan mudah beraksi di sini. Ini semua hasil disiplin tinggi kesemua pemain.

“Kami berjaya mengehadkan pergerakan empat tonggak import mereka dan berjaya menjadi satu unit untuk mengimbangi perlawanan,” jelas Abu Bakar.

Beliau juga berharap pemain-pemainnya dapat mengekalkan momentum kerana saingan masih di peringkat awal.