Piala Malaysia: Morais Puas Hati Prestasi Pemain JDT

Ulisses Morais berpuas hati dengan persembahan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. 

“Ia perlawanan yang hebat.

“Sekali lagi, pemain-pemain menampilkan permainan yang menakjubkan.

“Tiga mata cukup penting dan pemain telah menampilkan aksi hebat dalam tempoh 70 minit permainan,” kata jurulatih JDT itu.

Dalam aksi di Larkin itu, kedua-dua pasukan turun dengan kesebelasan terbaik biarpun JDT tidak menurunkan penyerang import, Mohammad Ghaddar.





JDT memecah kebuntuan pada minit ke-12 apabila sepakan penjuru Safiq Rahim disudahkan tonggak pertahanan, Marcos Antonio.

Asakan bertali arus JDT menyaksikan ketua pasukan Bujang Senang, Ronny Harun, menjatuhkan Ahmad Hazwan Bakri dalam kotak penalti sebelum Gabriel Guerra menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.

Guerra terus berbisa apabila meledak jaringan kedua peribadinya pada minit ke-73 dan empat minit sebelum tamat perlawanan, Naxto Insa merakamkan jaringan keempat buat tuan rumah.

“JDT mengatasi kami di segenap posisi.

“Pemain saya cuba bersaing, namun mereka terlalu ampuh pada malam ini (tadi),” kata jurulatih Sarawak, David Usop.