Guerra, Santos Akui JDT Buru Kejuaraan Piala Malaysia

Santos, Guerra akui JDT intai kejuaraan Piala Malaysia

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Marcos Antonio Santos dan Gabriel Miguel Guerra, mengakui Piala Malaysia adalah kejuaraan yang ingin mereka kecapi pada musim ini.

Santos adalah antara pertahanan senior JDT yang sudah merasai pelbagai kejuaraan bersama kelab itu sejak 2014.

Namun, kejuaraan Piala Malaysia masih belum diraih dan pemain kelahiran Brazil itu bertekad untuk menjulang kejuaraan itu pada musim ini.

“Ini adalah perlawanan yang baik untuk kami. Kami bermain baik dan melakukan perkara sama seperti musim lalu. Sudah tentu apabila anda bermain untuk JDT, anda perlu memenangi semua perlawanan.

“Kami mahu mara ke separuh akhir dan selepas itu tunggu apa yang akan berlaku,” katanya.





Santos turut menyambut baik kehadiran Ulisses Morais selaku jurulatih baru pasukan yang cuba memberi nafas segar dengan pendekatan taktikal berkesan.

Dalam pada itu, Guerra turut mengakui mahu melakar nama bersama JDT dengan membantu kelab itu memburu kejuaraan Piala Malaysia.

Bekas pemain PKNS FC itu antara pemain konsisten JDT musim ini dan turut meraih dua gol ketika menewaskan Sarawak 4-0 dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia, semalam.

“Saya mahu memenangi Liga Super dan Piala Malaysia. Kami akan cuba menjuarai kedua-duanya pada musim ini. Saya berlatih setiap hari demi membantu pasukan,” kata penyerang itu.

JDT kini mengungguli Kumpulan D dengan mata penuh, diikuti Selangor dan Terengganu yang terikat 1-1.

stadiumastro