Hanya 6 Pemain Skuad Kim Swee Lapor Diri

SHAH ALAM: Hanya enam daripada 26 pemain yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee ke latihan pusat skuad Bawah 22 (B-22) negara, hadir melaporkan diri, hari ini.

Pemain berkenaan termasuk dua tonggak Selangor, Muhammad Syahmi Safari dan Adam Nor Azlin, selain Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur, Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Danial Amier Norhisham (FELDA United) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Keadaan itu sekali gus memeningkan Kim Swee yang mahu mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada di Bangkok, 19 hingga 23 Julai ini.





Pengurus pasukan B-22, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menjelaskan sebahagian besar persatuan negeri sudah bersetuju untuk melepaskan pemain mereka secara berperingkat.

“Selepas menghubungi semua pasukan hari ini, mereka tampak bersetuju melepaskan pemain masing-masing, selewat-lewatnya pada 12 Julai ini.

“Hanya Pahang dan Pulau Pinang masih belum memberi kata putus, namun melihat kepada perbincangan dengan mereka tadi, kita nampak mereka pun seperti sedia melepaskan pemain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.