Pahang Dan Pulau Pinang Tidak Lepas Pemain Sertai B-22

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) mengikut jejak sama seperti Pulau Pinang untuk tidak melepaskan pemain mudanya menyertai latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya Bawah 22 Tahun (B-22) menjelang aksi persahabatan menentang skuad Myanmar B-22 pada 13 Julai ini.

Keputusan itu sekali gus akan memeningkan lagi jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee yang mahu melakukan persiapan rapi menjelang aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 bermula 19 hingga 23 Julai ini.

Menurut sumber yang rapat dengan Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA), pihak pengurusan akan kekal dengan keputusan tidak melepaskan dua pemainnya bagi menyertai skuad B-22 kebangsaan.

“Dua pemain tersebut iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih adalah pemain utama kami. Perlawanan Liga Malaysia masih banyak dalam tempoh itu, dan cuba bayangkan tujuh perlawanan tanpa kedua-dua pemain ini.

“Keputusan mungkin berbeza jika FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memberi pelepasan kepada pemain untuk kembali ke pasukan negeri jika ada perlawanan. Namun, ia tidak mungkin berlaku,” jelas sumber PFA kepada mStar Online.

Jelas sumber itu lagi, isu yang timbul sekarang bukan hanya berlaku bagi pasukan Pahang, sebaliknya semua pemain negeri yang terlibat.

“Saya yakin situasi ini bukan sahaja kami, sebaliknya negeri-negeri lain pun ada perasaan ini. Lagi pun pada pandangan saya, tidak salah kami menolak kerana ia bukannya tercatat dalam kalendar Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Bukan menidakkan tanggungjawab kepada negara, tetapi stuasi ini tidak memberi kesan yang baik kepada pasukan negeri. Sepatutnya kedua-dua pihak beroleh ‘win-win situation’,” tambahnya.





Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang menegaskan pihaknya tidak akan melepaskan tiga pemainnya menyertai skuad negara bagi aksi persahabatan itu atas sebab yang hampir sama.

Isu pelepasan pemain ini timbul selepas hanya enam pemain negeri sahaja daripada 20 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat bersama Kim Swee di Hotel Glenmarie, Shah Alam pada Rabu.

Pasukan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk tidak melepaskan tiga pemain mudanya bagi menyertai latihan pusat skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara.

Pengurusnya, L Katherisan berkata buat masa ini skuad Harimau Kumbang itu amat memerlukan khidmat Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew yang dipanggil.

“Setakat ini, kami memang keberatan untuk melepaskan ketiga-tiga pemain itu. Jadi kami enggan melepaskan mereka kerana khidmat mereka amat diperlukan apatah lagi pasukan kini bergelut dengan zon penyingkiran,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, pasukan itu telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapat pengecualian kepada tiga pemain tersebut daripada menyertai skuad B-22.

Bagaimanapun Katherisan berkata, pasukan itu bersedia mempertimbangkan untuk melepaskan tiga pemain tersebut jika badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) boleh menyusun semula jadual membabitkan pasukan itu.