Pepe Tinggalkan Real Sertai Besiktas

BARCELONA – Selepas 10 tahun bersama, pemain antarabangsa Portugal, Pepe akhirnya meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Pertahanan kental berusia 34 tahun itu memilih destinasi baharu iaitu juara Turki, Besiktas.

Laporan media Turki menyatakan Pepe akan menandatangani kontrak dengan Besiktas selama dua tahun.

Sejarah Pepe di Real bermula pada tahun 2007 selepas berhijrah dari Porto dengan nilai 30 juta euro (RM146.4 juta) dan terus menjulang trofi La Liga pada musim pertamanya di sana.

Pepe meninggalkan Real dengan banyak kenangan manis selepas meraih tiga gelaran La Liga, dua Piala Raja Sepanyol diikuti tiga piala Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun dia terlepas aksi final menentang Juventus akibat kecederaan tahun ini.





Image result for pepe berpindah ke besiktas

Pepe pasti diingati di Sepanyol apabila kempen musim kedua bermula dengan kontroversia apabila dia menyepak pemain Getafe, Javier Casquero selepas menjatuhkannya.

Pemain kelahiran Brazil itu juga menumbuk Juan Albin pada April 2009 menyebabkannya dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan.

Bahkan, pemain itu juga diperintahkan keluar padang sebanyak empat kali termasuk menerima kad merah kerana mengasari pemain Barcelona, Dani Alves – dalam separuh akhir Liga Juara-Juara pusingan pertama pada 2011.

Pepe juga melakukan sebanyak 86 penampilan untuk Portugal dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan pada final Euro 2016 ketika mereka menewaskan Perancis.

Dia juga menjaringkan gol penyamaan dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Konfederasi, minggu lalu ketika menentang Mexico untuk membawa perlawanan ke masa tambahan, sekali gus menyaksikan juara Eropah itu menang 2-1.