Kelantan Menyesal Jual Ghaddar, Kini Rasa Tertipu

KOTA BHARU 6 Julai – Penaja utama The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa menyesal melepaskan penyerang berbisa Mohammad Ghaddar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika pintu perpindahan pemain Jun lalu.

Annuar mendakwa, beliau terpedaya dengan tawaran pihak tertentu yang berkata Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) boleh mendapatkan pemain baharu sekiranya melepaskan Ghaddar.

Katanya, pihak itu juga mendakwa Kafa akan memperoleh bayaran lumayan dan wang tersebut boleh digunakan untuk membawa masuk penyerang baharu bagi memperkemaskan pasukan.

“Waktu itu saya langsung tidak tahu bahawa kita sudah tertakluk kepada sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu. Jika kita tahu, Kafa tidak akan pindahkan dan pinjamkan pemain kepada pasukan lain.

“Rancangan asal Kafa ialah untuk menggantikan seorang pemain import yang tidak cergas dan berprestasi rendah. Notis penamatan kontrak sudahpun diputuskan pada bulan April lalu,” katanya menerusi Facebook hari ini.





Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor yang berang de­ngan sikap membisu Football Limited Liability Partnership (FMLLP) berhubung pendaftaran penyerang baharu Imam L Seydi.

Akhbar melaporkan Kafa me­nempelak FMLLP yang membisu terhadap isu pendaftaran Seydi ketika pintu perpindahan pemain Jun lalu. Seydi sepatutnya didaf­tarkan untuk menggantikan Alessandro Celin yang beraksi di bawah keupayaan sebenar ketika ini selain ditimpa kecederaan.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, apa yang menghairankan pendaftaran pemain berkenaan sudah dibatalkan oleh badan yang menguruskan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) itu.

Katanya, apabila Kafa mengemukakan permohonan untuk membawa masuk Seydi, FMLLP telah mendaftarkan semula Celin.

“Situasi itu menyebabkan Kafa terpaksa memikul beban apabila perlu membayar gaji Celin dan Seydi.

“Sudahlah begitu, Kelantan dipaksa pula menggunakan khidmat pemain yang mempunyai prestasi rendah. FMLLP perlu mempertimbangkan semula hal ini. Jangan menganiaya Kelantan setelah penaja berhempas pulas cuba membantu,” katanya.