Antonio Conte Berang Chelsea Gagal Dapatkan Lukaku

Antonio Conte Chelsea

LONDON – Pengendali Chelsea, Antonio Conte dilaporkan tidak gembira dengan tugasnya di Stamford Bridge ekoran perkemba­ngan pasaran perpindahan pemain ketika ini sehingga memba­yangkan mungkin akan meninggalkan pasukan itu.

Sebelum ini, Conte mengidamkan sentuhan khidmat penyerang Everton, Romelu Lukaku untuk menyelesaikan masalah jentera serangan musim depan, namun Manchester United dilihat semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.

Pengurus The Blues itu benar-benar kecewa melihat bagaimana rundingan mendapatkan Lukaku gagal dilaksanakan biarpun pemain itu dikaitkan dengan spekulasi kembali menyertai Chelsea.

Meskipun beberapa laporan di Itali menganggap Lukaku bukan pilihan pertama Conte tetapi media England mendedahkan pengendali Itali itu terdesak untuk mendapatkan sentuhan penyerang itu.

Ini kerana, Conte telah bersedia untuk mengubah taktikalnya pada musim depan jika Lukaku menge­tuai jentera serangan The Blues.





Conte mengakui berdepan kesukaran pada jendela perpindahan pemain kali ini dan berang dengan sikap pihak pengurusan Chelsea yang tidak bersungguh-sungguh mendapatkan pemain baharu.

Lebih mengejutkan, Pengarah Teknikal Chelsea, Michael Emenalo telah ‘hilang’ selama empat hari ketika Conte berdepan krisis dengan penyerang utamanya musim lalu, Diego Costa.

Terdahulu, Costa secara terbuka mendedahkan, Conte memberitahu bahawa dia tidak lagi berada di dalam perancangan dan kedua-dua individu itu mula ‘berperang mulut’.

Costa dijangka menyertai Atletico Madrid tetapi dipinjamkan ke kelab lain terlebih dahulu sehingga Ja­nuari tahun depan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu ini menyaksikan Chelsea mungkin terpaksa mengekalkan khidmat Costa selepas mereka gagal mendapat pemain yang mampu menggantikan tempat penggempur dari Sepanyol itu.

Costa juga dilaporkan bersetuju untuk kembali berbincang dengan Conte berkaitan masa depannya di Chelsea – Agensi