Sukan SEA: Kim Swee Waspada Ancaman Myanmar

KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak cepat melatah apabila diramalkan memiliki peluang cerah untuk layak ke pentas final, sekali gus merangkul pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Ini kerana Kim Swee menegaskan Myanmar adalah pasukan pilihan, selain Thailand juga memiliki keupayaan untuk berbuat demikian dalam kejohanan yang bakal membuka tirai pada bulan depan.

Semalam, skuad negara selaku pasukan tuan rumah kejohanan itu diundi bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei dalam aksi Kumpulan A, manakala bagi saingan Kumpulan B adalah Thailand, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.

Mengulas lanjut, Kim Swee bukan mahu menidakkan kemampuan laluan skuad negara sebaliknya berharap pemain-pemain membuka mata agar menyedari laluan sukar menanti anak-anak buahnya, sekali gus memaksa bekerja keras kerana Myanmar memiliki skuad lebih baik apabila membuat penampilan di pentas Piala Dunia B-20 pada 2015 di New Zealand.

Biarpun Myanmar tersingkir awal apabila menduduki tangga tercorot peringkat Kumpulan A, namun Kim Swee tetap menganggap kualiti mereka berada di kelas tersendiri selepas masih berupaya memberikan saingan se­ngit kepada Ukraine, Amerika Syarikat dan New Zealand pada kejohanan itu.





Selepas dua tahun berlalu, Kim Swee menyifatkan Myanmar semakin matang, sekali gus beliau meramalkan skuad itu sebagai jaguh baharu Asia dan layak dilabelkan sebagai pasukan pilihan.

“Sejujurnya undian (Kumpulan A), saya tidak nampak Myanmar (pencabar) sahaja tetapi Singapura juga memiliki skuad yang baik. Di atas kertas, Myanmar adalah pasukan pilihan untuk kejohanan Sukan SEA kali ini.

“Myanmar telah membuktikan kualiti mereka dengan layak ke Piala Dunia B-20 pada 2015 dan sudah pasti, mereka adalah pasukan pilihan meskipun kita tampil sebagai tuan rumah kejohanan. Begitu juga Thailand yang sering konsisten mempamerkan persembahan cemerlang.

“Mengenai undian pasukan ini, memang bukan mudah tetapi ia sekurang-kurangnya memberikan peluang buat kita untuk melepasi peringkat seterusnya.

“Kita tidak boleh terus cakap untuk layak ke final kerana harus fokus satu demi satu perlawanan. Saya harap kita dapat menggunakan pemain-pemain utama untuk mencari momentum dan persefahaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan persiapan Kim Swee dilihat terjejas ekoran ketiadaan pemain-pemain utama yang tidak dibenarkan menyertai sesi latihan pusat.

Ada beberapa pemerhati menganggap Kim Swee bakal memiliki skuad terbaik jika beliau mendapat pemain-pemain utama yang bakal mengharungi kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) 2019 dan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.