Liga Super: JDT Sasar Mata Penuh Di Kubu Pahang

Image result for Ulisses Morais jdt

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, akan mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya untuk perlawanan Liga Super menentang Pahang bagi membawa pulang tiga mata dari tempat lawan, malam ini.

Morais tidak menurunkan barisan utama dalam aksi Piala Malaysia bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Ia membabitkan empat pemain import, Mohammed Ghaddar, Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra serta ketua pasukan, Safiq Rahim dan Natxo Insa.

Sebaliknya, pengendali dari Portugal itu mempertaruhkan pemain yang jarang beraksi, antaranya Haziq Nadzli, Hasbullah Abu Bakar, Junior Eldstal, Shakir Shaari dan Darren Lok.

Sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan itu, Morais sudah pasti akan menampilkan kesemua tonggak utamanya ketika berdepan Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, malam ini.





“Ia bukan pasukan kedua kami, semua pemain harus diberi peluang tetapi sudah pasti saya akan menurunkan pemain terbaik kami ketika berdepan Pahang,” katanya.

Apapun, kemenangan ke atas Pahang bakal menjarakkan kedudukan JDT di persada liga, sekaligus mencerahkan peluang untuk dinobatkan juara lebih awal.

Namun, pengendali dari Portugal itu enggan bersikap terlalu yakin apabila mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan untuk mencapai misi itu.

“Jika kami menang perlawanan malam ini, ia belum menjamin kejuaraan kerana kita belum tahu perlawanan seterusnya bagaimana, tetapi kami akan cuba mengutip tiga mata penuh.”