Pahang Mesti Menang Di Darul Makmur – Dollah

Matheus ALVES LEANDRO (tengah) pastinya menjadi sandaran utama

KUANTAN 10 Julai – Skuad Tok Gajah perlu memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri de­ngan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merapatkan kedudukan mata dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini malam esok.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, walaupun Tok Gajah ketinggalan sembilan mata di belakang JDT, namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk mengejar Harimau Selatan.

“Pemain tidak boleh putus harapan. Ini kerana dalam bola sepak tidak ada perkara yang mustahil walaupun agak sukar untuk kita mengejar JDT.

“Apa yang penting dalam perlawanan malam esok, kita kena menang,” katanya di sini hari ini.





Pahang kini berada di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 24 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang JDT.

Dollah berkata, dia akan mempertaruhkan kesebelasan terbaik Pahang dalam perlawanan itu dalam misi mencapai kemenangan.

“Dari segi kecederaan, hanya Matthew Davies yang belum pulih dan saya sendiri belum pasti sama ada dia dapat bermain untuk perlawanan menentang JDT esok,” katanya.

Berhubung prestasi pemain Tok Gajah, Dollah mengakui permainan dipamerkan anak buah­nya kurang menyerlah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam dua perlawanan Piala Malaysia sebelum ini, kita ha­nya seri kerana prestasi yang dipamerkan pemain kurang me­nyerlah,” katanya.