Isu Permit Kerja, Salah Belum Dapat Diturunkan

Salah berdepan isu permit kerja 

Mohamed Salah perlu menanti untuk membuat kemunculan pertama bersama Liverpool kerana masih belum memperoleh permit kerja.

Bos The Reds, Jurgen Klopp, mengesahkan Salah, yang menyertai dari Roma dengan yuran perpindahan EUR42 juta (RM207 juta), bulan lalu, tidak dapat diturunkan apabila Liverpool mengunjungi Tranmere Rovers untuk aksi pertama kempen pra-musim mereka, semalam.

Pemain Mesir itu perlu meninggalkan United Kingdom (UK) sebelum kembali semula untuk menyempurnakan dokumen yang berkaitan.





“Mo Salah sudah berlatih di sini tetapi tidak dapat diturunkan atas sebab peraturan. Hhakikat itu terpaksa kami terima,” kata Klopp kepada laman sesawang Liverpool.

“Kami akan cuba mendapatkan kebenaran visa. Saya tidak pasti apa yang kami perlu kemukakan, namun kami akan ke Paris dan dia akan kekal di sana dalam masa sehari dua sebelum dia akan dapat menyertai semula kami.

“Saya berharap dia akan dapat diturunkan tidak lama lagi.”

Dalam masa sama, Liverpool mendapat perkhabaran gembira apabila Adam Lallana dan Philippe Coutinho sudah kembali untuk menjalani latihan pra-musim.