AFF B-15: Skuad NFDP Harungi Dua Perlawanan Tanpa Kalah

Image may contain: 11 people, sky and outdoor

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan Bawah 15 Tahun melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Timor-Leste 2-0 dalam aksi kumpulan B pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2017 Bawah 15 Tahun  di Chonburi, Thailand, Rabu.

Anak-anak buah Raja Azlan Shah yang menewaskan Filipina juga 2-0 pada perlawanan pembukaan kumpulan pada Isnin memperoleh gol melalui Muhammad Danish Ishak pada minit ke-31 dan Harith Naem Jaineh pada minit ke-63 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kampus Chonburi IPE.

Malaysia akan berdepan Brunei sementara Timor-Leste menentang Kemboja dalam aksi pusingan awal yang akan berlangsung di venue yang sama pada Jumaat.

Edisi ke-12 kejohanan yang diadakan sejak 2002 menampilkan 12 negara.





Juara bertahan, Australia mendahului cabaran Kumpulan A yang terdiri daripada juara tiga kali Thailand, Laos, Indonesia, Myanmar dan Sapura sementara Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Kemboja, Timor-Leste, Filipina, Brunei dan Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 dengan menundukkan Indonesia 3-2 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat perlawanan.

Kejohanan itu sebelumnya dipertandingkan  sebagai kejohanan Bawah 16 Tahun tetapi tahun ini, kumpulan umur baharu diperkenalkan.

Malaysia B15 diwakili oleh skuad NFDP B manakala skuad NFDP A di bawah latihan Lim Teong Kim akan bertanding untuk AFC Cup Bawah 16.

Komen penyerang Malaysia B-15, Harith Naem Jaineh selepas tamat perlawanan menentang Timor Leste.