Berkorban Untuk Negara, Kedah Resah Hilang Ramai Pemain

KETUA Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof resah apabila kehilangan tujuh pemainnya sebelum berdepan Selangor bagi saingan ke-16 Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.

Kemenangan bergaya 4-2 ke atas Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat yang menyaksikan mereka merampas kedudukan kedua liga dari Pahang, dilihat gagal menenangkan Mohd Nidzam yang perlu mencorak taktikal baru sebelum berdepan The Red Giants.

Menurutnya, keputusan menurunkan beberapa pemain simpanan semasa menentang MU sebagai persediaan awal sebelum menghadapi aksi seterusnya.

“Kami kekurangan pemain pada perlawanan akan datang selepas enam pemain muda menyertai sesi latihan pusat Malaysia Bawah 22 Tahun manakala Akram Mahinan digantung kerana telah mengutip enam kad kuning,” katanya.





Enam pemain muda yang menyertai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ialah Ifwat Akmal Chek Kassim, Ariff Farhan Md Isa, Farhan Roslan, Amirul Hisham Awang Kechik, Syafiq Ahmad dan Muhammad Akhyar Abd Rashid bagi persediaan pusingan kelayakan AFC B23 di Bangkok bermula 12 hingga 24 Julai ini dan juga Sukan Sea Ogos nanti.

Mohd Nidzam berkata, beliau mempunyai cara lain untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemain-pemain utama dengan memanggil beberapa pemain dari skuad Kedah Bawah 21 Tahun.

Namun bukan semua pemain tersebut mampu hadapi tekanan tinggi apabila beraksi di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.