Hanya Kempen Piala Malaysia Peluang Pahang Untuk Merangkul Piala Musim Ini

Poyeng tekad lakar kejayaan di pentas Piala Malaysia

Pemain paling senior Pahang, Saiful Nizam Miswan atau Poyeng, mengharapkan skuad Tok Gajah mampu melakar kejayaan dalam kempen Piala Malaysia selepas impian untuk meraih kejuaraan Liga Super tampak sudah terkubur.

Pahang tewas 0-2 dalam aksi penting ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT)  dalam pertemuan di laman sendiri, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh jatuh ke tangga ketiga liga selepas ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga ketika saingan berbaki tujuh perlawanan.

Tatkala kedudukan kedua dilihat realistik buat Tok Gajah, kempen Piala Malaysia merupakan peluang terbaik buat Pahang untuk meraih gelaran pada musim ini.





“Kami akan meneruskan perjuangan dalam baki saingan liga ini sampai habis dan dalam kempen Piala Malaysia, kami akan meneruskan kemaraan sejauh yang boleh,” ujarnya.

Pertahanan berusia 36 tahun itu memikul tugas kapten ketika pertemuan menentang JDT selepas Matthew Davies diketepikan ekoran kecederaan.

Namun dia gagal membantu pasukannya mencipta keputusan positif dan jelas amat kecewa.

“Pasukan sedang bergelut mendapat rentak permainan seperti awal musim ini.

“Kami memang kecewa dengan gol awal dan kekalahan 2-0 ini, apapun kami telah memberikan saingan sengit sehabis baik,” tambahnya.