Pahang Sudah Sukar Pintas JDT – Dollah

Kuantan: Jurulatih Pahang Dollah Salleh mengaku peluang Tok Gajah untuk muncul juara Liga Super musim ini sudah tertutup berikutan kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT), kelmarin.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, jurang 12 mata tidak lagi memberi harapan buat Pahang untuk mengucup piala berkenaan musim ini.

Bagaimanapun, beliau percaya Tok Gajah akan terus berusaha untuk menamatkan musim di kedudukan kedua liga.

“Bagi saya, ketinggalan 12 mata menutup peluang kami untuk mengejar (Johor DT) tetapi kami tidak akan putus asa untuk beri saingan dengan menamatkan liga di tempat kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, satu gol pada setiap babak memastikan Johor DT mengukuhkan kedudukan di persada liga ketika Pahang jauh ketinggalan untuk memberikan tekanan.





Kekalahan itu turut meletakkan Pahang di tangga ketiga selepas Kedah menewaskan Melaka United 4-2 untuk berada di kedudukan kedua liga.

Mengulas gol seawal minit pertama, Dollah berkata, jaringan itu tidak menjejaskan tumpuan pemain tetapi skuadnya gagal memberikan tekanan kepada Johor DT.

“Namun, saya tetap gembira dengan komitmen semua pemain yang berusaha untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik seperti dipersembahkan sebelum liga berehat,” katanya.

Sementara itu, kapten Saiful Nizam Miswan mengaku kecewa kerana Tok Gajah gagal mencatat kemenangan di laman sendiri.

“Pada masa sama, kami masih lagi bergelut untuk kembali membentuk persefahaman dan berharap prestasi terbaik dapat dipersembahkan seperti dipamerkan pada awal musim,” katanya.