Nyatakan Hasrat Mahu Bermain Di Liga Juara Juara, Wenger Tetap Optimis Sanchez Kekal

SYDNEY – Pengendali Arsenal, Arsene Wenger optimis dengan ayam tambatan pa­sukannya, Alexis Sanchez akan kekal bersama mereka mengharungi kempen Liga Perdana England (EPL) yang dijadualkan bermula secara rasmi bulan depan.

Sebagai rekod, masa depan Sanchez menimbulkan tanda tanya apabila dilaporkan masih enggan menandatangani kontrak baharu susulan tempoh kontrak asalnya bakal tamat pada Jun tahun depan.

Selain itu, pemain antarabangsa Chile itu juga telah menarik perhatian pasukan pesaing dalam EPL seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea yang difahamkan sedang melakukan perbincangan dengan ejennya.

Bagaimanapun, Wenger yang kini berada di Australia dalam siri jelajah pramusim pasukan itu memberi jaminan penuh bahawa Sanchez yang ketika ini diberi cuti pelepasan selepas mengharungi Piala Konfederasi akan kekal di Stadium Emirates.





“Saya akui banyak khabar angin dikatakan tentang Sanchez ketika ini memandangkan tempoh kontraknya yang berbaki kurang daripada 12 bulan. Secara jujur, saya telah menghubunginya dan segalanya berlangsung secara positif,” katanya.

Sementara itu, Wenger turut menjelaskan, pemain sensasi The Gunners, Jack Wilshere akan kembali menyarung jersi Arsenal selepas menamatkan kontrak pinjaman daripada Bournemouth musim lepas.

“Dia (Wilshere) dalam senarai perancangan kami. Cuma, dia kini mengalami kecederaan dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Saya harap dia akan membantu pasukan mencabar trofi utama musim depan,” jelasnya.

Aementara itu Alexis Sanchez telah memberikan isyarat akan ‘angkat kaki’ dari Arsenal selepas menyatakan keinginannya untuk bermain di Liga Juara-Juara.

Arsenal gagal mara ke saingan tertinggi antara kelab-kelab Eropah buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun setelah hanya mampu menamatkan saingan di posisi kelima Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Walaupun Sanchez mampu menunjukkan prestasi terbaik dalam kariernya setelah berjaya menjaringkan 24 gol dalam liga, di sebalik itu dia nampak tidak bahagia di Stadium Emirates, khususnya ketika Arsenal kalah 10-2 secara agregat kepada Bayern Munich dalam pusingan 16 kelompok terakhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Penyerang itu kini hanya mempunyai baki kontrak satu tahun di Arsenal.

Pemain kebangsaan Chile ini buat pertama kali telah menyatakan keinginannya dalam satu wawancara televisyen di tanah kelahirannya.

“Saya ingin bermain di Liga Juara-Juara. Keputusan bukan berada di tangan saya, saya harus menunggu Arsenal,” ujar Sanchez.