Skuad Kim Swee Fokus Kelayakan Piala AFC B-23

JURULATIH skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya melupakan segala masalah yang berlaku dalam pasukan dan kekal fokus menghadapi perlawanan pertama Kumpulan H saingan kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 menentang Indonesia di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok jam 5 petang waktu Malaysia, esok.

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, meskipun hanya dapat mengumpul semua pemain lima hari lalu beliau percaya anak buahnya sudah bersedia.

“Semua pemain sudah bersedia, kita tahu Thailand selaku pasukan tuan rumah adalah pasukan pilihan dalam kumpulan ini termasuk Indonesia. Kita juga tidak boleh memandang mudah cabaran Mongolia.





“Walaupun pasukan ini berdepan masalah untuk mendapatkan pemain, saya percaya semua pemain yang ada sudah bersedia dan tujuan kami ke sini tetap ingin layak ke pusingan akhir tahun depan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan dengan Indonesia, hari ini.

Arena Metro sebelum ini melaporkan krisis yang dihadapi Kim Swee dalam mengumpul kesemua 26 pemain apabila ada pasukan yang tidak melepaskan pemain dengan alasan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang padat.

Masalah itu menyebabkan bekas jurulatih kebangsaan itu hanya sempat mengadakan latihan pusat selama lima hari sebelum tiba di Bangkok semalam.

Kim Swee terpaksa memanggil pemain lain selepas Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Haziq Nadzli, Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim) tidak mendapat kebenaran pasukan masing-masing.