Kelayakan Piala AFC B23 : Malaysia Mahu Serang Thailand

PEMAIN Malaysia menjalani latihan di Stadium Nasional Suphachalasai,

KUALA LUMPUR 20 Julai – Walaupun bakal berdepan pasukan yang dianggap pilihan, Thailand, namun Malaysia tetap turun dengan taktik menyerang bagi memburu kemenangan kedua dalam Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 di Bangkok, esok.

Selepas membenam Indonesia 3-0 dalam perlawanan pembukaan semalam, pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee bakal menukar sedikit strategi tetapi mengekalkan corak menyerang.

Kata Kim Swee beliau sukar membaca permainan sebenar tuan rumah kerana pertemuan mereka dengan Mongolia dalam saingan pembukaan semalam sedikit terjejas ekoran hujan lebat.

Thailand diikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Supachalasai itu, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pendahulu Kumpulan H.

“Kami akan berhati-hati dengan Thailand tetapi tidak akan beraksi secara bertahan kerana mahu mendapatkan tiga mata penting bagi memudahkan laluan.

“Kami juga tidak boleh leka dengan keputusan Thailand yang seri (aksi pembukaan) atau hanya akan menjadikan saingan lebih terbuka.





“Corak permainan kita tetap sama (menyerang) kerana kami tidak turun untuk mendapatkan keputusan seri,” kata Kim Swee ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, penjaga gol negara, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim dan penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad tidak dapat diturunkan dalam perlawanan esok akibat kecederaan hamstring dan pangkal paha.

“Saya akui pasukan ini tidak ada pemain luar biasa tetapi saya percaya, kerjasama sepasukan yang ditunjukkan akan menjadi motivasi terbaik.

“Ketiadaan Ifwat dan Syafiq pula bukan masalah besar kerana saya percaya ramai pemain berkebolehan untuk mengisi kekosongan mereka,” katanya lagi.

Dua pasukan teratas peringkat kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC B-23 di China, tahun depan.

Selepas Thailand, halangan terakhir anak-anak buah Kim Swee dalam Kumpulan H adalah menentang Mongolia, Ahad ini.

Tonton secara streaming di www.bptvstream.com