Vingada pantau pemain muda di Bangkok

Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada, percaya skuad bawah 22 tahun (B-22) negara mempunyai kemampuan untuk melepasi halangan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) meskipun berdepan tugas sukar menentang Thailand dalam perlawanan kedua, malam ini.

Skuad muda negara berjaya membuka kempen kelayakan dengan langkah kanan selepas membelasah Indonesia 3-0 dalam aksi sulung, kelmarin.

Mereka tampak berpeluang untuk muncul pasukan terbaik Kumpulan H selepas pasukan pilihan, Thailand, diikat 1-1 oleh Mongolia.

Skuad negara sekurang-kurangnya perlu mencapai keputusan seri ketika berdepan tuan rumah dan memburu kemenangan ke atas Mongolia dalam aksi terakhir pada lusa.





“Saya sangat gembira dengan persembahan skuad B-22 negara kerana apa yang penting adalah kemenangan seperti ini.

“Oleh itu, saya berharap kita mencapai keputusan yang baik ke atas Thailand dan mengakhiri aksi kelayakan dengan baik kerana bukan sahaja penting buat pasukan ini, malah kepada bola sepak Malaysia untuk menyerlah pada 2018 dalam kempen AFC ini,” katanya.

Apapun, kehadiran Vingada di Bangkok adalah misi serampang dua mata.

Selain memberi suntikan moral kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee, beliau juga hadir untuk mengenal pasti pemain muda negara dalam perancangannya untuk menghadapi aksi kedua kelayakan Piala Asia 2019, September depan.

“Saya percaya selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kita akan mempunyai kombinasi yang bagus untuk pasukan kebangsaan.”