Malaysia B-22 Hanya Fokus Untuk Menang – Kim Swee

Mengakui peluang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 semakin rumit, pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, menuntut anak buahnya hanya fokus untuk memenangi perlawanan terakhir menentang Mongolia, esok.

Dalam kempen di Bangkok itu, skuad muda negara melepaskan peluang terbaik untuk mengesahkan kemaraan lebih awal ke pusingan akhir di China, tahun depan.

Ia susulan kekalahan 3-0 dalam perlawanan kedua bertemu Thailand, semalam.

Begitupun, skuad negara masih berpeluang menjadi juara kumpulan seandainya Indonesia menewaskan tuan rumah atau seri dalam aksi terakhir tatkala Malaysia mengalahkan Mongolia.

Tetapi jika berlaku sebaliknya, skuad negara mengharapkan slot lima pasukan naib juara terbaik daripada 10 pasukan.

“Ini situasi yang rumit kerana perlu mengambil kira perbezaan keputusan-keputusan kumpulan yang lain.





“Cuma apa yang saya lihat, selagi kami tidak tewas kepada Mongolia, tiga mata terjamin untuk kami.

“Tetapi, tempat kedua tidak akan menjamin slot ke pusingan akhir secara automatik kerana bergantung kepada keputusan kumpulan-kumpulan lain,” kata Kim Swee.

Sementara itu, jurulatih B-22 Mongolia, Michael Weiss, akan merombak kesebelasan utamanya selepas dibelasah Indonesia, 7-0, semalam.

Pernah disenarai pendek sebagai jurulatih B-22 negara sebelum ini, pengendali dari Jerman itu menegaskan tiada laluan mudah buat skuad kendalian Kim Swee dalam pertemuan itu.

“Pertemuan dengan Malaysia adalah sukar.

“Saya percaya Malaysia juga berdepan dengan masalah kecederaan pemain dan akan membuat rombakan selepas pertemuan getir dengan Thailand sebelum ini.

“Kami perlu bangkit dengan mempamerkan aksi sepenuh hati dan bermaruah supaya tidak ditimpa bencana seperti perlawanan terdahulu,” katanya.