Pahang Tak Terjejas Tanpa Dollah, JDT Hanya Perlu 5 Mata Untuk Juara

KUALA LUMPUR 22 Julai – Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk muncul sebagai pasukan pertama yang menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut biarpun perlawanan liga masih berbaki lima perlawanan.

Perkara itu dilihat selepas skuad kendalian Ulisses Morais mudah membelasah pasukan T-Team 6-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, manakala pencabar terdekatnya, Kedah menang 2-0 ke atas Pulau Pinang dan Pahang turut melakar kemenangan 2-0 ke atas Melaka United, malam tadi.

Harimau Selatan kini kukuh di persada liga dengan mengumpulkan 42 mata sekali gus hanya memerlukan lima mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan liga musim ini.





Sementara itu, Selangor tewaskan Kelantan 1-0, Perak menang tipis 1-0 dan Sarawak tunduk 0-1 kepada PKNS FC.

Sementara itu di Kuantan, tekanan yang dirasai skuad Tok Gajah selepas menerima perkhabaran penggantungan ketua jurulatihnya Dollah Salleh nyata tidak menjejaskan prestasi pemain untuk menyingkirkan Melaka United 2-0 dalam pertembungan di Stadium Darul Makmur, Sabtu.

Lega dengan kemenangan itu, penolong jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi mengakui berita penggantungan Dollah tersebut memberi tekanan kepada pemain.