Skuad Malaysia B22 Benam Mongolia

Skuad B-22 negara raih kemenangan kedua 

Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menutup kempen kelayakan Kumpulan H, Kejohanan AFC B-23 dengan kemenangan 2-0 ke atas Mongolia di Stadium Supachalasai, petang ini.

Selepas mengharungi dua aksi mencabar berdepan Indonesia dan Thailand, skuad muda negara menampilkan kesebelasan berbeza menentang Mongolia.

Ia membabitkan lima pemain, antaranya penyerang, Muhammad Akhyar Abdul Rashid; pemain tengah, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, dan pertahanan, Muhd Syazwan Zaipol Bahari.

Berlangsung dalam cuaca panas, kealpaan pemain negara nyaris dihukum Mongolia pada minit ke-17, mujur Tserenbayar Boldbaatar gagal memanfaatkan peluang di depan gol.

Skuad muda negara yang memerlukan kemenangan pula membazirkan peluang apabila N. Thanabalan melakukan sepakan liar pada minit ke-21.





Pada minit ke-37, skuad negara membuat pertukaran drastik, mengeluarkan dua pemain, iaitu Nur Shamie Iszuan Amin dan Fauzan Fauzi, untuk membawa masuk Muhammad Syafiq Ahmad dan Muhd Syahmi Safari.

Usaha keras skuad negara untuk memecah kebuntuan jaringan akhirnya berhasil lima minit selepas rehat apabila hantaran Danial berjaya disudahkan Thanabalan untuk gol kedua peribadinya dalam kempen kelayakan ini.

Malang berganda kemudian menimpa Mongolia apabila pemainnya, Uuganbayar Baterdene, dilayangkan kad merah pada minit ke-56 susulan mengasari Akhyar.

Beraksi dengan kelebihan seorang pemain dimanfaatkan skuad negara apabila mereka menggandakan jaringan menerusi Syazwan Andik empat minit sebelum wisel penamat untuk kedudukan 2-0.

Malaysia boleh muncul juara kumpulan sekiranya pertemuan Thailand dan Indonesia berakhir seri.

Gambar: Laman web rasmi AFC