Jagalah Skuad B-23 Dengan Baik – Khalid Ali

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah 22 (B-22) negara layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari depan secara automatik menjadi bukti betapa negara tidak pernah ketandusan pemain berkualiti.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata sudah tiba masanya semua pihak bersatu dan bersama-sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim merencana perancangan terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

“Sebelum ini kita hampir layak namun masih belum terlaksana. Kita lupakan apa yang sudah berlaku 30 tahun lalu dan paling penting sekarang kita saling bantu Tunku Ismail merangka strategi terbaik buat pasukan.





“Walaupun dihimpit beberapa masalah sebelum ini, sekurang-kurangnya kita sudah nampak hasilnya. Kelab juga perlu bantu FAM lahirkan bakat dan bukannya hanya kutip apa yang diusahakan oleh FAM.

“Jagalah ‘budak-budak’ ini dengan baik. Paling utama sekarang, kalau boleh mereka perlu dikumpulkan bersama di luar negara dan cuba aturkan aksi berkelas tinggi bagi memastikan pemain kekal kompetitif untuk bersaing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Skuad negara layak selaku juara Kumpulan H selepas mengumpul enam mata, mengetepikan pasukan pilihan yang juga tuan rumah, Thailand yang turut layak selaku enam pasukan tangga kedua terbaik.

Malaysia meraih dua kemenangan, bermula dengan menundukkan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama, tewas dengan jaringan sama kepada Thailand sebelum menewaskan Mongolia 2-0, semalam.

BH