Hukuman FAM Ke Atas Dollah Terlalu Berat

Image result for dato jamal nasir dollah salleh

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman yang terlalu berat terhadap ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh hingga menjurus kepada percubaan membunuh kerjaya dan menutup periuk nasinya.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, menegaskan timbul persoalan sama ada luahan hati Dollah terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terlalu sensitif hingga mengundang kepada hukuman yang terlalu berat.

“Saya berpendapat hukuman penggantungan selama 18 bulan dan denda RM30,000 kepada Dollah terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

“Malah saya sebagai orang biasa sukar menerimanya, apatah lagi jurulatih seperti dia (Dollah) yang banyak berkorban untuk bola sepak negara,” katanya hari ini.

Jamal yang pernah membimbing pasukan Tok Gajah sebelum ini mengakui mengikut peraturan FAM menjadi kesalahan jurulatih mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan mutu pengadilan.

“Bagaimanapun, sebagai badan induk, FAM perlu mengkaji daripada semua aspek dan bukan terus menghukumnya.

“Mungkin FAM boleh memberi amaran dan sekiranya dia sekali lagi berbuat demikian, barulah hukuman berat ke atasnya dikenakan sebagai pengajaran,” katanya.

Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (FCAM) menyatakan kesediaan untuk membantu Dollah Salleh yang digantung FAM.

Jurulatih Pahang itu digantung FAM selama 18 bulan akibat mengeluarkan kenyataan mengenai mutu pengadilan selepas perlawanan diantara FELDA United menentang Pahang.

Bagi FCAM, mereka bersedia untuk membantu Dollah mendapatkan hukuman yang lebih ringan dari pihak FAM.





Presidennya iaitu B. Sathianathan mengatakan hukuman yang dikenakan terhadap Dollah adalah terlalu berat untuk ditanggung.

“Hukuman yang dikenakan kepada Dollah terlalu berat sebenarnya.”

“Beliau telah menjadi pemain kebangsaan dan baktinya kepada negara cukup banyak. Untuk tutup periuk nasinya sebegitu rupa adalah tidak wajar.”

“Beliau lakukan kesilapan, dan hukum saja dengan amaran keras. Selepas itu biarkan saja beliau fokus dengan tugasnya.”

Walaupun begitu, Sathianathan tetap mahukan Dollah melakukan rayuan kepada FAM menerusi saluran yang betul.

“Dollah mesti merayu kepada FAM agar hukumannya dikurangkan.”

“Kita kena ingat, beliau adalah jurulatih bukannya pakar psikologi.”

Sabtu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan Dollah dihukum gantung 18 bulan dan denda RM30,000 kerana mengkritik pengadil selepas pertemuan Pahang dan FELDA United, 1 Julai lalu.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun mempertahankan keputusan itu dengan menegaskan Dollah boleh membuat rayuan mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya.