Skuad Ong Kim Swee Buru Emas Sukan SEA

KEJAYAAN skuad bola sepak bawah 22 tahun negara (B-22) layak ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan membuktikan Malaysia berada di landasan yang baik merangkul pingat dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah apabila layak secara automatik buat kali pertama selepas menjadi juara kumpulan H dalam aksi kelayakan kejohanan itu.

Kim Swee berkata, kejayaan itu adalah pencapaian terbaik skuad peringkat remaja biarpun ia hanya pusingan kelayakan dan ia dianggap sebagai satu kejayaan bermakna.

“Sudah tentu kejayaan ini lebih menarik selepas ini terutamanya ia memberi semangat kepada pasukan dalam menghadapi saingan Sukan SEA tak lama lagi.

“Namun saya ketepikan dahulu kejayaan ini untuk fokus kepada Sukan SEA serta perancangan hala tuju pasukan untuk kejohanan AFC pada Januari tahun depan,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, dia menjangkakan tekanan lebih besar namun berharap pasukan menganggap tekanan itu satu perkara yang positif.





Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kejayaan skuad bawah 22 layak ke pusingan akhir AFC di China membolehkan setiap pemain menerima ganjaran RM6,000 setiap seorang pemain.

“Mungkin kita akan menerima satu lagi berita gembira daripada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas diperintahkan membawa pasukan berjumpa dengan Tunku secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata ketika menyambut ketibaan skuad bawah 22 negara dan atlet paralimpik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Kejayaan skuad olahraga paralimpik di Kejohanan Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2017 di London mengumpul dua pingat emas dan satu perak menambah keyakinan atlet para negara untuk bersaing pada kejohanan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.

Sambutan meriah tertumpu kepada atlet para negara dalam acara lontar peluru F20 Muhamad Ziyad Zolkefli yang menghadiahkan emas dengan rekod baru dunia 17.29m, pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 Abdul Latif Romly dan pemenang pingat perak 100 meter T36 (Cerebral Palsy), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Muhamad Ziyad berkata, berdasarkan pemerhatian jurulatih, dia mampu sekali lagi memecahkan rekod dunia sekiranya konsisten dengan persembahan serta latihan mantap.

“Namun saya tidak meletakkan sesuatu harapan tinggi bagi setiap kejohanan yang saya sertai kerana takut kecewa. Saya cuma mahu ‘enjoy’ dan buat yang terbaik.

“Biarpun ini bukan kali pertama bersaing dengan atlet normal, saingan pasti sengit untuk sukan SEA nanti,” katanya.

HMetro