Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya Beraksi Di Melaka

Aksi kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Hong Kong pada 5 September depan tidak akan berlangsung di Johor Bharu, sebaliknya akan diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Aksi kelayakan Kumpulan B itu pada awalnya dijadualkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dan perubahan perlawanan itu diumumkan sendiri Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, merangkap pengurus pasukan, hari ini.

Menurut Subahan, perubahan venue pertandingan itu adalah untuk memberi peluang buat peminat di negeri lain menyaksikan skuad kebangsaan beraksi.

“Elok juga semua peminat di setiap negeri berpeluang menikmati perlawanan pasukan kebangsaan.

“Memang pada mulanya Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu mengadakannya di Larkin.

“Tetapi, kali ini kami akan mengadakannya di Melaka. Saya harap penyokong-penyokong Melaka dapat hadir di Stadium Hang Jebat.

“Saya berasakan ia satu keputusan baik dan ia memang patut,” katanya.

Dalam pada itu, tiga aksi persahabatan antarabangsa yang dicanangkan buat Harimau Malaya sebelum ini sudah dipastikan.

Harimau Malaya bakal berdepan Syria di Melaka pada 22 Ogos, Macau di tempat lawan pada 25 Ogos dan Myanmar di Yangon pada 29 Ogos.





Selepas itu, skuad negara akan pulang ke tanah air dan terus menjalani latihan di Melaka sebelum berdepan Hong Kong.

“Nelo Vingada (jurulatih negara) berpengalaman luas dari segi taktikal.

“Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan mempunyai penasihat seperti Tan Cheng Hoe.

“Mereka telah berbincang dan saya berpendapat mereka sedang melakukan tugas dengan baik.

“Tugas saya adalah memberikan sokongan sepenuhnya.

“Ia bukan tugas mudah dan perubahan tidak akan dapat dilakukan dalam sekelip mata.

“Ia perjalanan yang panjang. Kalau Nelo diberi tempoh dua tahun, Insya-Allah kita akan mula nampak peningkatan.”

Stadiumastro