Ia seperti beraksi di laman sendiri – Mehmet Durakovic

Durakovic senyum lebar cipta kemenangan di Shah Alam   

“Ia seperti beraksi di laman sendiri,” itu reaksi jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, apabila anak buahnya memastikan kemenagan 3-1 ke atas PKNS FC semalam untuk memastikan slot suku akhir Piala Malaysia ditempah awal skuad The Bos Gaurus.

Durakovic ternyata lega dengan tiga mata yang diperoleh di Stadium Shah Alam, yang menyimpan banyak kenangan pahit dan manis sepanjang mengendalikan skuad Selangor satu ketika dulu.

Pengendali ini tersenyum penuh makna, namun mudah untuk memahami betapa ia satu kemenangan cukup istimewa selain mengesahkan slot suku akhir buat Perak.

“Sudah lama saya di sini (Stadium Shah Alam), sungguh hebat dan ia menjadi rumah saya. Saya gembira. Gelanggang yang cantik untuk bermain dengan penyokong yang hebat. Ini adalah kelas dunia.

“Sebagai jurulatih bola sepak, ia menarik untuk kembali datang ke sini dan melakukan tugas baik,” katanya selepas perlawanan.





Beliau menganggap kemenangan itu sebagai penutup yang manis sepanjang enam aksi berturut-turut Perak di laman lawan sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, jurulatih PKNS, Sven Gartung, menegaskan keutamaannya pada musim ini adalah untuk memastikan skuadnya terselamat daripada zon penyingkiran bagi saingan liga.

Tidak bermakna aksi seterusnya dalam saingan Piala Malaysia hanya di pandang sepi, sebaliknya Gartung melihat PKNS masih memiliki peluang untuk menambah kutipan mata walaupun PKNS sudah ketinggalan jauh untuk mengisi dua slot ke suku akhir.

“Kekalahan ini di luar jangkaan kami tetapi kami terpaksa akur. Kami tidak menurunkan kesebelasan terbaik tetapi masih mampu memberikan saingan kepada lawan,” katanya.