Saya tidak mahu kehilangan rambut – Mourinho

Saya tidak mahu kehilangan rambut -- Mourinho

Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, ternyata tidak berdiam diri apabila bertindak membalas kenyataan pengurus Chelsea, Antonio Conte, mengenai musim terakhirnya di Stamford Bridge.

Selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Conte memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar mengelak daripada melalui “musim Mourinho” berulang.

Chelsea berada di tangga ke-10 liga pada musim 2015/16 di bawah Guus Hiddink selepas Mourinho dipecat ekoran prestasi merudum walaupun memenangi kejuaraan liga setahun sebelum itu.

Bagaimanapun, Mourinho pantas membalas kenyataan itu dengan memberikan sindiran sinis buat Conte.

“Saya tidak tahu,” kata Mourinho.





“Saya boleh menjawab dalam pelbagai cara tetapi saya tidak mahu kehilangan rambut untuk bercakap mengenai Antonio Conte,” tambahnya.

United menunjukkan kebangkitan dalam aksi pra-musim apabila menewaskan Valerenga 3-0 hasil jaringan Marouane Fellaini, Romelu Lukaku dan Scott McTominay selepas tewas 1-0 di tangan Barcelona sebelum itu.

Skuad The Red Devils bakal bertemu Sampdoria dalam persediaan akhir menjelang musim baru pada Rabu sebelum melakukan persiapan terakhir menentang Real Madrid dalam aksi Piala Super UEFA, seminggu selepas itu.