Ronaldo Tidak Mengaku Elak Cukai RM74 Juta

Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, menegaskan dia tidak menyembunyikan sebarang perkara ketika hadir ke mahkamah bagi proses perbicaraannya selepas didakwa mengelak cukai sebanyak EUR14.7 juta (RM74 juta) berkaitan dengan hak penampilannya pada tahun 2011 sehingga 2014.

Dia yang dijadualkan mengadakan sidang media di mahkamah di Pozuela de Alarcon, bagaimanapun, mengubah jadual dan hanya mengeluarkan kenyataan media.

Ronaldo didakwa memiliki satu struktur perniagaan pada 2010 untuk menyembunyikan pendapatannya, namun perkara itu turut dinafikan oleh ejennya, Gestifute.

“Jabatan Kewangan Negara Sepanyol telah dimaklumkan segala pendapatan saya kerana kami memberikan segala-galanya kepada mereka,” kata Ronaldo.





“Saya sentiasa menjalankan tanggungjawab terhadap cukai kerana saya tahu kita semua perlu mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai.

“Sesiapa yang mengenali saya pasti tahu saya sentiasa bertanya kepada penasihat untuk memastikan segalanya dibayar pada masanya dan mengelakkan sebarang masalah,” tambahnya.

Ronaldo masih belum menyertai skuad Los Blancos kerana terlibat dengan aksi Piala Konfederasi sebelum ini di Russia.

Sokongan daripada pihak Real turut membuatkan Ronaldo yakin bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Kini masanya untuk melihat keadilan menjawab segalan persoalan. Saya tidak akan menjawab pertanyaan lain sehingga keputusan akhir telah diterima,” katanya.