Kedah, JDT Dan Felda United Pasukan Terbaru Ke Suku Akhir Piala Malaysia

S. KUNANLAN meraikan jaringannya ketika membantu JDT mengalahkan

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Penyandang juara, Kedah, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United muncul pasukan terbaru berjaya melayakkan diri ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan dalam perlawanan masing-masing, malam ini.

Kedah muncul pasukan pertama dari Kumpulan C menempah tiket ke pusingan lapan terbaik selepas menumpaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC 1-0 menerusi jaringan tunggal Liridon Krasniqi di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

JDT pula mengesahkan tiket suku akhir dengan penuh bergaya apabila membelasah Terengganu 5-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sekali gus merampas kedudukan pendahulu daripada Selangor yang akan bertemu Sarawak di Selayang, malam esok. Kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata.

Sementara itu, dalam Kumpulan B, Felda United terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan PKNS FC 3-2 di Stadium Tun Abdul Razak, sekali gus mengatasi Perak dengan kelebihan 11 mata.




 


Perak yang sudah layak ke suku akhir tidak berdepan masalah untuk merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh.

Slot kedua bagi Kumpulan A bagaimanapun masih terbuka selepas Pahang berpesta gol menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 6-0 di Stadium Darul Makmur.

Peluang buat Negeri Sembilan ke aksi suku akhir masih terbuka meskipun tewas 1-4 kepada T-Team di Stadium Sultan Nasiruddin Shah.

Pahang dan Negeri Sembilan perlu menang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan bagi menentukan pasukan yang layak untuk mengiringi PKNP FC ke suku akhir.

Berikut adalah keputusan perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung malam ini. – UTUSAN