Ingkar Kehendak Ayahnya, Neymar Kini Sah Milik PSG

PARIS 4 Ogos – Bintang Brazil, Neymar kini sah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) apabila selesai menandatangani perjanjian lima tahun dengan anggaran pendapatan 30 juta Euro (RM152.38 juta) setahun, awal pagi tadi sekali gus mencipta rekod perpindahan dunia termahal ketika ini.

Kontrak perjanjian itu ditandatangani beberapa jam selepas pemain berusia 25 tahun itu membayar klausa pembelian bernilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion) kepada Barcelona.

“Impian PSG amat menarik perhatian saya terhadap kelab ini malah saya rasa sudah bersedia menghadapi cabaran ini.





“Cabaran besar yang bakal dihadapi memberikan saya motivasi untuk menyertai rakan sepasukan baharu dan membantu untuk merangkul gelaran yang peminat inginkan,” kata Neymar.

Neymar bakal dipersembahkan kepada peminat PSG pada esok di Parc des Princes sebelum saingan liga bermula.

Sementara itu Neymar memberitahu bahawa keputusan dia berhijrah daripada Barcelona adalah bertentangan dengan kehendak bapanya, Neymar Sr.

“Ayah saya pasti faham malah saya juga menghormati pandangannya namun keputusan sudah dibuat cuma saya harapkan sokongan seperti yang ayah selalu lakukan.

“Saya sudah meraih kemenangan semua yang pemain boleh menangi namun sebagai seorang pemain (saya) perlukan perubahan,” kata Neymar.