Tidak Bermain Di Liga Juara Eropah, The Gunners Tumpu Liga Perdana Musim Ini

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, mereka perlu mengalih perhatian terhadap perebutan kejuaraan Liga Perdana England musim ini memandangkan The Gunners tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Arsenal menamatkan saingan Liga Perdana England di tangga kelima pada musim lalu sekali gus gagal melangkah ke Liga Juara-Juara dan sekadar beraksi dalam saingan Liga Europa.

Wenger mengakui, beliau lebih gemar beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara memandangkan ia menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik Eropah, namun terpaksa menerima hakikat Arsenal hanya layak ke Liga Europa.

“Saya sangat sukakan aksi dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi kami perlu berdepan realiti kerana Arsenal tidak layak. Jadi, ini peluang kami untuk fokus terhadap aksi liga perdana.





“Bagaimanapun, kami tidak boleh memandang rendah saingan liga perdana kerana ia sentiasa menjanjikan aksi sukar dalam setiap perlawanan. Saya fikir semua pemain perlu berada pada tahap terbaik,” kata Wenger.

Menyaksikan pasukan-pasukan pencabar seperti Liverpool, Manchester United, Manchester City serta Chelsea membawa masuk pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas nyata menghadirkan kegusaran terhadap pengendali dari Perancis itu.

“Buat masa sekarang sukar untuk menilai kekuatan setiap pasukan liga perdana kerana Liverpool, United, City serta Chelsea membawa masuk ramai pemain baharu. Saya yakin sai­ngan musim ini lebih sukar berban­ding musim lalu,” ujarnya. – Agensi