Dortmund Tewas, Bayern Munich Julang Piala Super Jerman

Piala Super Jerman milik Bayern

DORTMUND, Jerman 5 Ogos – Kegagalan pertahanan, Marc Bartra menyempurnakan sepakan penalti terakhir memboleh Bayern Munich menjulang Piala Super Jerman menundukkan Borussia Dortmund 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam 90 minit perlawanan.

Dalam aksi di Signal Iduna Park pagi tadi, pemain tengah, Christian Pulisic terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan namun Bayern pantas menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski.

Penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu, Pierre-Emerick Aubameyang kembali meletakkan Dortmund di depan pada minit ke-71 namun jaringan sendiri pertahanan, Lukasz Piszczek dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.




Kemenangan ini pastinya memberikan suntikan moral kepada Bayern di bawah bimbingan Carlo Ancelotti selepas skuad Bavarian itu mencatat lima kekalahan daripada enam perlawanan pramusim, baru-baru ini.

“Kami tahu pramusim kali ini tidak berjalan seperti yang diharapkan. Hari ini, kita dapat saksikan kembali Bayern yang sebenar dan kami membuktikan moral setiap pemain sudah kembali,” kata penjaga gol, Sven Ulreich yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti terakhir Bartra. – AFP