JDT juarai Liga Super kali keempat berturut-turut

JDT juarai Liga Super kali keempat berturut-turut

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keempat sejak 2014 biarpun tumbang 2-1 kepada Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Kejuaraan JDT itu dipengaruhi oleh keputusan pencabar terdekat, Kedah, yang tersungkur 2-1 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur.

JDT yang mengumpul 45 mata, mustahil lagi untuk dipintas Lang Merah yang kini mengumpul 34 mata disusuli Pahang, 33 mata, dengan saingan liga hanya berbaki tiga perlawanan.

Dalam pertembungan yang disemarakkan dengan isu pemilihan jersi itu, tuan rumah bangkit untuk menundukkan juara bertahan Liga Super sebanyak tiga kali berturut-turut itu selepas Natxo Insa terlebih dahulu menggegar gawang menerusi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti, tujuh minit menuju waktu rehat.

Sebelum itu, gol awal Selangor dibatalkan pengadil selepas Ugochukwu Ukah didakwa melakukan kekasaran ke atas penjaga gol pelawat, Izham Tarmizi.

Selangor turut disajikan dua peluang terbuka, namun sekadar hampa susulan rembatan lemah yang dilepaskan penyerang import, Francis Forkey Doe.




 


Begitupun, Amri Yahyah kembali merancakkan aksi di tengah padang selepas permainan bersambung apabila mengikat kedudukan menerusi tindakan pantas daripada lontaran ke dalam Syahmi Safari sebelum Amri dengan tenang menyudahkan peluang satu lawan satu ketika berdepan Izham.

Enam minit selepas dimasukkan pada minit ke-71, Andik Vermansyah menjadi wira buat pasukannya apabila bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut umpanan tinggi K. Kannan sebelum menyudahkannya dengan rembatan deras.

Selain itu, Kelantan tergelincir ke zon penyingkiran setelah sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

The Red Warriors (TRW) kini menghuni tangga kedua tercorot dengan mengumpul 15 mata, dua mata dipisahkan dengan pasukan di kedudukan di atas mereka, Sarawak.

“Saya sangat-sangat gembira.

“Perlawanan yang bagus dan jaringan yang hebat.

“Tanpa kemenangan, tetapi kami muncul juara.

“Ia begitu penting buat JDT, pemain, kakitangan dan saya.

“Saya sangat gembira.

“Peminat sangat-sangat penting,” kata jurulatih Harimau Selatan, Ulisses Morais.

KEPUTUSAN LAIN:

SARAWAK 2 PULAU PINANG 0

KELANTAN 1 FELDA UNITED 1

PAHANG 2 KEDAH 1

T-TEAM 1 MELAKA UNITED 5

PERAK 2 PKNS FC 0