Pahang Bantu JDT Juarai Liga Super – Safiq

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim terpaksa menerima hakikat, pengesahan awal pasukannya muncul selaku juara Liga Super pada Sabtu turut dibantu dengan kejayaan Pahang bagi memastikan kemenangan 2-1 mengatasi Kedah di Kuantan.

Tidak hairan pengesahan kejuaraan Liga Super 2017 kelmarin  tidak disambut meriah dengan pemain JDT lebih terkilan dengan kegagalan mereka mencuri sebarang mata ke atas Selangor.

Tegas Safiq, sebagai pemain profesional, kemenangan dalam perlawanan begitu penting, namun kegagalan mengutip tiga mata di Selayang seakan merencatkan kejayaan muncul juara liga musim ini.




 


“Mungkin agak kecewa kerana untuk meraikan gelaran Liga Super, kami mengakui gagal memberikan yang terbaik, tetapi kami perlu meneruskan persembahan yang cemerlang dalam perlawanan akan datang,” kata Safiq.

Pahang merupakan seteru utama JDT satu ketika dulu, dan buat musim ini, mereka dilihat membantu JDT meraih kejuaraan awal selepas mengatasi Kedah 2-1 di Stadium Darul Makmur.

“Bagaimanapun, kami perlu akur Pahang berjaya mengatasi Kedah di Kuantan, tetapi perkara yang paling penting adalah kami menyedari kemampuan yang dimiliki oleh JDT,” tambah Safiq.