Malaysia Menang Tipis Untuk 3 Mata Berharga

Sukan SEA: Anak buah Kim Swee mula dengan langkah kananSkuad bawah 23 tahun negara memulakan acara bola sepak Kumpulan A, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan langkah kanan selepas menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Malaysia berada di depan seawal minit ke-4 menerusi sumbangan penyerang muda Johor Darul Ta’azim (JDT), Safawi Rasid.

Pemain kelahiran Terengganu itu melepaskan voli deras ke gawang Brunei selepas menerima hantaran lambung, Matthew Davies.

Kurang 10 minit kemudian, Brunei berjaya menyamakan kedudukan menerusi Zulkhairy Hady Razali yang berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan skuad negara.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee berpeluang mendahului perlawanan seminit kemudian namun percubaan pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin, gagal menepati sasaran.

Memasuki minit ke-34, berlaku sedikit ketegangan di antara pemain Brunei, Awang Mohd Aman dan pemain tengah negara, Muhammad Nor Azam sehingga terpaksa dileraikan rakan sepasukan yang lain.

Muhammad Syazwan Andik mendapat peluang keemasan pada minit ke-42 namun rembatan jarak dekatnya sekadar melambung tinggi.

Safawi hampir melakar gol keduanya malam ini namun sepakan percuma diambilnya di hujung babak pertama sekadar menggegar palang gol.

Bermula babak kedua, Safawi sekali lagi mengancam kubu Brunei dengan percubaan daripada jarak 20 meter namun rembatan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Brunei, Haimie Anak Nyaring.

Adam akhirnya melunaskan peluang keduanya apabila melepaskan tandukan deras pada minit ke-60 untuk gol kedua negara hasil sepakan sudut Safawi.




 


Brunei berpeluang menyamakan kedudukan empat minit kemudian namun sepakan percuma Suhaimi Anak Sulau berjaya ditampan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekaligus menyaksikan Malaysia berjaya mengutip tiga mata.

Kim Swee turut menyuarakan rasa puas hati terhadap persemabahan anak buahnya yang tidak terkesan dengan corak bertahan lawan.

“Ini adalah perlawanan pertama dan pemain saya menghasilkan banyak peluang. Brunei tidak membuka ruang yang banyak dan bertahan dengan baik sepertimana yang kami jangkaan.

“Gol kedua sangat membantu kami. Tiga mata ini amat penting,” katanya.

Sementara itu, aksi di sebelah petang menyaksikan Myanmar melakar kemenangan 2-0 ke atas Singapura.

Malaysia bakal berdepan Singapura dalam perlawanan kedua, Rabu ini di Shah Alam sementara Brunei membuat perhitungan dengan Myanmar, dua hari kemudian.