Sukan Sea: Jaringan Dua Pemain Simpanan Buat Malaysia Lega

Nor Azam jumps in joy after scoring against Singapore during their Group A match of the Kuala Lumpur SEA Games at the Shah Alam Stadium. GLENN GUAN/The Star

Dua pemain negara yang masuk dari bangku simpanan muncul sebagai penjaring untuk membantu skuad B-22 Malaysia bangkit menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi Kumpulan A, Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Mohammad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan, yang menggantikan Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan Muhammad Syahmi Safari pada babak kedua, melakukan jaringan untuk memadam gol Muhammad Amiruldin Asraf Muhammad Nodin.

Gawang Singapura diuji dengan rembatan deras Muhammad Safawi Rasid pada minit kesembilan tetapi ia tepat ke arah penjaga gol lawan, Muhammad Zharfan Rohaizad.

S. Kumaahran dijatuhkan di luar kotak penalti pada minit ke-30 untuk memberikan peluang gol kepada Malaysia, malangnya sepakan percuma yang diambil Safawi terkena benteng lawan.

Lapan minit kemudian, kealpaan barisan pertahanan yang tidak mengawal ketat Amiruldin membuka ruang kepada pemain tengah itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti.

Sepakan berkualitinya itu mengenai tiang sebelum menerjah jaring untuk meletakkan Singapura di depan pada minit ke-38.

Kumaahran sekali lagi dijatuhkan ketika tambahan masa satu minit pada separuh masa pertama, bagaimanapun, sepakan percuma Safawi gagal buat kali kedua untuk menghadiahkan gol selepas bola terkena palang.

Skuad negara kelihatan terdesak untuk memburu jaringan sebaik memulakan separuh masa kedua dengan kerap melakukan serangan.

Safawi dua kali membuat hantaran lintang ke depan gol pada minit ke-58 dan 61, tetapi tiada pemain negara berada di kedudukan baik untuk menyudahkannya.

Tidak lama selepas itu, Kumaahran menerima hantaran sebelum dia melakukan rembatan deras yang melewati palang.

Nor Azam, yang masuk sebagai pemain gantian, melakukan rembatan deras ke arah gawang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-68.

Terdahulu, Safawi mengelirukan pemain lawan untuk membuat hantaran baik kepada penjaring kelahiran Pahang itu.

Enam minit kemudian, skuad negara memperoleh gol kedua hasil jaringan Thanabalan — yang juga dimasukkan pada separuh masa kedua — ketika berlaku keadaan kelam-kabut di depan pintu gol lawan.




 


“Pada separuh masa pertama, kami terlalu berhati-hati dengan corak permainan Singapura, dan pada separuh masa kedua, kami bangkit dengan dua jaringan.

“Ia taktikal yang sungguh berkesan daripada jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk perlawanan ini. Kami harap dapat melakukan dengan lebih baik untuk aksi ketiga berdepan Myanmar (Isnin depan),” kata kapten pasukan negara, Muhammad Adib Zainudin.

Ia kemenangan kedua skuad negara selepas menewaskan Brunei 2-1 dan kekalahan kedua Singapura apabila kalah di tangan Myanmar 2-0, kelmarin.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Myanmar menewaskan Laos 3-1 di Stadium Selayang, malam ini.

Malaysia, Singapura, Myanmar, Laos dan Brunei bersaing dalam peringkat kumpulan untuk memburu dua tempat separuh akhir.