Europa League: Everton, Milan Lepasi Ujian Pertama

Everton will look to complete the job when they head to Split for the second leg next Thursday with a group place at stake

PARIS: Everton menang 2-0 pada aksi play-off pertama Liga Europa awal pagi tadi menentang Hajduk Split di Liverpool dalam perlawanan yang dihentikan seketika kerana masalah kekecohan penonton.

Penyokong Hajduk meluru ke dalam padang Goodison Park dan melontarkan objek menyebabkan perlawanan dihentikan serta-merta selepas tandukan Michael Keane pada minit ke-30 meletakkan tuan rumah di depan.

Selepas polis masuk mengawal keadaan, pemain kembali ke padang dan Everton menggandakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi rembatan Idrissa Gueye yang menyambut hantaran silang Wayne Rooney.

“Saya amat gembira dengan babak pertama dan tidak gembira mengenai babak kedua. Kami terlepas peluang baik menjaringkan lebih banyak gol,” kata jurulatih Everton, Ronald Koeman.

Keane berkata, dia gembira menyumbat gol pertamanya buat Everton sejak berpindah dari Burnley pada musim panas ini.

“Saya bangga apatah lagi kubu kami tidak dibolosi,” ujar pertahanan England itu.




Di Milan, pertahanan Leonardo Bonucci mengemudi AC Milan menang besar 6-0 dalam penampilan aksi kompetitif pertamanya buat kelab Itali itu menentang kelab Macedonia, Shkendija dua bulan selepas bermain untuk Juventus pada final Liga Juara-Juara.

Kelab dimiliki usahawan China itu terlalu unggul buat kelab Macedonia itu dengan dua gol sumbangan pemain baru Andre Silva pada babak pertama dan Riccardo Montolivo selepas 25 dan 85 minit.

Fabio Borini dan Luca Antonelli menambah dua gol lagi pada pertengahan babak kedua untuk membantu kelab Itali itu dalam laluan ke peringkat kumpulan menjelang aksi timbal balik pada 24 Ogos ini.

Anak buah Vincenzo Montella tidak pernah menang pertandingan kelas kedua Eropah itu yang kali terakhir disertai mereka pada musim 2008-09.

Sementara itu, naib juara tahun lalu Ajax Amsterdam tewas 0-1 di laman sendiri di tangan Rosenborg dari Norway apabila pemain gantian Samuel Adegbenro meledak gol kemenangan selepas 77 minit.