Usah terlalu hormati Myanmar – Ifwat

PENJAGA gol negara Ifwat Akmal Che Kassim berkata, semua pemain tidak boleh terlalu menghormati Myanmar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu pada acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, malam esok.

Sambil mengakui tidak terasa hati dengan jurulatih Datuk Ong Kim Swee yang tidak menurunkannya ketika berdepan Singapura, Rabu lalu, Ifwat menjelaskan Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dan hanya perlu fokus sepenuhnya untuk perlawanan itu.

“Saya tidak kisah siapa pun yang diturunkan kerana apa yang penting adalah pasukan meraih kemenangan.

“Saya perlu bekerja lebih keras untuk bersaing merebut tempat dan cuba melakukan yang terbaik jika diberi peluang beraksi pada perlawanan akan datang.

“Myanmar pasukan yang bagus, jadi kami perlu berhati-hati namun tidak boleh terlalu menghormati mereka. Sasaran utama kami sudah pasti mahu meneruskan momentum kemenangan,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Myanmar kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata selepas menang semua tiga aksi sebelum ini.





Malaysia yang masih mengekalkan rekod bersih selepas menang 2-1 ke atas Brunei dan Singapura berada di tangga kedua dengan enam mata.

Ifwat turut berharap Malaysia dapat meraih kemenangan dalam semua perlawanan untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara.

“Kalau boleh, kami perlu menang semua perlawanan untuk mengelak laluan sukar di separuh akhir nanti. “Saya fikir ia tidak mustahil sekiranya kami mampu menewaskan Myanmar kerana selepas ini kami akan berdepan Laos pada aksi terakhir kumpulan,” katanya.