Sukan SEA : Peluang Malaysia juarai kumpulan A cerah
SHAH ALAM 21 Ogos – Dua jaringan pantas yang dicipta Malaysia sudah cukup untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad bawah 22 (B-22) negara apabila menundukkan Myanmar 3-1 dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam hari ini.
Kemenangan itu juga bermakna peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk merampas kedudukan pendahulu kumpulan yang ketika ini dipegang oleh Myanmar mampu dilakukan kerana Malaysia masih mempunyai baki satu perlawanan iaitu menentang Laos di venue yang sama pada Rabu ini manakala skuad kendalian Gerd Zeise sudah pun mengharungi empat perlawanan.