Ibrahimovic Kembali Sertai United Dengan Kontrak Setahun

Zlatan Ibrahimovic kembali sertai Manchester United dengan kontrak selama setahun.

Pemain berusia 35 tahun itu yang dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen lututnya, telah menjaringkan 28 gol dalam 48 penampilan bersama United musim lalu tetapi dia telah dilepaskan oleh kelab pada penghujung Jun.

Bagaimanapun, penyerang itu telah bersetuju untuk kembali ke Old Trafford dan pengurus pasukan, Jose Mourinho menjangkakan dia akan menjadi pemain yang penting untuk pasukan selepas pulih secara sepenuhnya pada Januari 2018.

“Kami sangat gembira bahawa Ibrahimovic dalam proses pemulihan dan gembira dengan cita-citanya untuk kembali bersama kami,” kata Mourinho menerusi laman web rasmi United.

“Selepas persembahan yang telah dipamerkan oleh Ibrahimovic musim lalu, dia berhak menerima kepercayaan kami dan United akan bersabar untuk menunggunya sehingga pulih sepenuhnya.





Ibrahimovic merupakan pemain yang berpengaruh di belakang kejayaan United dalam menjuarai Piala EFL dan Liga Europa (UEL), menjaringkan dua gol bagi membantu United meraih kemenangan 3-2 ke atas Southampton.

Dia kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika menang ke atas Anderlecht dalam aksi timbal balik suku akhir, pada April.

Ibrahimovic akan menyarung jersi nombor 10 mengisi kekosongan bekas kapten, Wayne Rooney yang menyertai Everton.

Bekas pemain kebangsaan Sweden itu merupakan pemain keempat yang menyertai United sebelum jendela perpindahan berakhir, menyertai rakan senegaranya, Victor Lindelof, pemain tengah, Nemanja Matic dan penyerang, Romelu Lukaku.