Indonesia Lebih Kuat Berbanding Malaysia – Sittichok

PETALING JAYA: “Kami mahu jumpa Indonesia di final kerana mereka lebih baik dari Malaysia”, kata penyerang Thailand, Sittichok Kannoo.

Itu kata Sittichok ketika sidang media pra perlawanan separuh akhir acara bola sepak antara Thailand dan Myanmar yang bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang esok.

Bunyinya agak angkuh, namun itulah pandangan Sittichok yang mengakui tidak berminat untuk menentang Malaysia di pentas final jika skuad Gajah Perang itu berjaya melepasi halangan Myanmar di separuh akhir.

Bagi bekas pemain remaja Buriram United itu, skuad kendalian Bima Sakti jauh lebih ampuh berbanding anak didik Datuk Ong Kim Swee yang hanya bersandarkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri untuk mencipta kemenangan.

“Barisan pertahanan Malaysia mudah bolos dan penyerang mereka juga tidak begitu efektif terutamanya apabila berdepan pasukan kuat seperti Indonesia.

“Sebelum ini pun kami pernah menewaskan Malaysia (3-0) di Kelayakan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bawah 23 tahun di Bangkok, bulan lalu.





“Malah, di peringkat kumpulan Sukan SEA juga dapat diperhatikan Malaysia mudah dibolosi satu gol dalam empat perlawanan mereka.

“Situasi itu jelas berbeza dengan Indonesia yang kami anggap pasukan terbaik Asia Tenggara ketika ini. Kami sudah dua kali jumpa mereka (Indonesia) di Kelayakan Piala AFC dan peringkat kumpulan Sukan SEA, dua-duanya berakhir seri.

“Jadi saya pilih Indonesia untuk bertemu kami di final, itupun kalau kami dapat tewaskan Myanmar nanti,” katanya yang kini beraksi bersama kelab Thai Honda Ladkrabang di liga satu negara itu.

Thailand muncul juara Kumpulan B selepas mudah menewaskan Vietnam 3-0 pada aksi terakhir kumpulan untuk mengumpul 13 mata diikuti Indonesia di tempat kedua 11 mata.

Ditanya mengenai aksi separuh akhir, Sittichok meletakkan sepenuh kepercayaan kepada taktikal pengendalinya, Woorawot Srimaka untuk memerangkap pasukan Myanmar.

“Jurulatih kami sentiasa tampilkan strategi berbeza dalam setiap aksi. Kami akan ikut segala arahan sekali gus mara ke final,” katanya.

Sementara itu, penyerang Myanmar Aung Kaung Mann berkata, pasukannya akan tampil lebih segar berbanding Thailand yang hanya mempunyai rehat sehari.

“Dengan rehat lima hari, saya yakin kami akan turun dengan semangat dan motivasi tinggi untuk pertemuan separuh akhir itu.

“Thailand pasti keletihan kerana bermain lebih perlawanan berbanding kumpulan A dan mereka juga cuma ada satu hari saja untuk pulihkan kecergasan.

“Kami akan manfaatkan kelebihan itu untuk mengejutkan mereka,” kata Aung Kaung Mann.

BH